fb fb fb fb fb

KPWKM cadang wajibkan latihan khusus untuk pengasuh kanak-kanak OKU

Foto BERNAMA

SANTUBONG, 18 November- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berhasrat untuk mewajibkan pengambilan program latihan khusus bagi pengendali atau pengasuh kanak-kanak kurang upaya (OKU).

Langkah itu bagi menjamin persekitaran yang lebih selamat untuk kanak-kanak berkeperluan khas di bawah jagaan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu penting bagi memastikan pusat jagaan kanak-kanak khas mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk beroperasi.

Selain itu, ia juga untuk mengelak berlakunya sebarang kes penderaan atau penganiayaan.

"Kalau untuk pelatih, memang ada kursus asas. Kalau kita lihat kepada kes-kes penderaan, bila sudah dilaporkan baru kita tahu bahawa pengasuh yang menjaga kanak-kanak ini tidak mempunyai latihan dan ilmu yang betul," kata Nancy kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Khas Kebangsaan 2023, di sini.

Justeru, pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak OKU bawah KPWKM juga memainkan peranan penting dalam mencegah berlakunya kes-kes sedemikian.

Pelaksanaan program berkaitan pendidikan awal khas kanak-kanak OKU juga penting agar golongan tersebut tidak tercicir dari mendapatkan akses pendidikan awal dan pengasuhan yang berkualiti.

Seminar tersebut merupakan anjuran bersama KPWKM dengan Persatuan Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan Malaysia serta Persatuan Pengasuh dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM