KUALA LUMPUR, 6 November- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah membuat persediaan awal untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kementeriannya sedang bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengatur bantuan yang diperlukan ketika bencana itu berlaku.
Beliau berkata pada masa ini segala bantuan asas seperti persediaan pusat pemindahan sementara (PPS), makanan serta bantuan lain telah disiapkan.
"Kami sentiasa bersedia setiap masa. Kami sudah bersedia, ada sekolah yang jadi pusat pemindahan sementara, kerana semuanya telah disediakan, termasuk makanan serta prosedur operasi standard (SOP)", katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jalinan Kasih KPWKM Bersama NGO di ibu kota hari ini.
Jelasnya lagi, KPKWM sentiasa bersiap siaga menghadapi monsun timur laut dan membantu penduduk terjejas banjir di setiap daerah dan negeri.
Lebih RM96 juta telah disalurkan kepada 2,672 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan 6,697 program yang memberi manfaat kepada hampir 1 juta peserta di seluruh negara.