
PUTRAJAYA , 6 Mac – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang menunggu laporan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk tindakan sewajarnya berhubung isu tatakelola dan ketidakpatuhan pengurusan kewangan universiti itu.
- Setiap teguran dalam laporan akan diteliti untuk menentukan sama ada isu pentadbiran biasa atau kesalahan tatakelola yang serius.
- Kementerian menyerahkan tindakan susulan kepada universiti, termasuk membuat laporan kepada pihak berkuasa jika diperlukan.
- SPRM membuka dua kertas siasatan susulan Laporan Ketua Audit Negara, fokus pada tatakelola, pengurusan kewangan, pengambilan tanpa kelulusan dan tuntutan palsu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata setiap teguran dari laporan tersebut akan diteliti terlebih dahulu.
Ini bagi menentukan tahap keseriusan, sama ada melibatkan isu pentadbiran biasa atau kesalahan tatakelola yang lebih serius.
Katanya, kementerian menyerahkan kepada universiti tersebut bagi tindakan lanjut, ini termasuk membuat laporan kepada pihak berkuasa jika perlu.
“Apabila laporan audit dibentangkan, menjadi tanggungjawab kementerian untuk mengarahkan tindakan sewajarnya kepada semua pihak yang terlibat.
“Jika perkara itu tidak serius dan hanya melibatkan isu tatakelola, maka kementerian akan melaksanakan langkah penambahbaikan seperti yang disyorkan pihak audit.
“Namun, sekiranya terdapat kesalahan tatakelola yang serius, tindakan lanjut sewajarnya akan diambil,” katanya pada Program Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ukhuwah Ramadan KPKT di Putrajaya.
Jelas beliau, peraturan dan garis panduan yang perlu dipatuhi UKM telah ditetapkan kementerian bagi tindakan susulan.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka dua kertas siasatan susulan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 membabitkan UKM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan itu membabitkan isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan.
Siasatan memfokuskan kepada isi program pengambilan pelajar yang dikesan tidak mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah serta isu tuntutan palsu.