KUALA LUMPUR, 15 Mei - Menteri Pendidikan Dr Zambry Abd Kadir percaya isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sengaja dijadikan polemik.
Zambry menegaskan sekali lagi bahawa isu itu tidak pernah dibincang dalam mana-mana mesyuarat diperingkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahupun peringkat Kabinet.
"Isu ini ternyata sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak.
"Seperti kenyataan saya pada 2 Mei yang lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera seperti mana yang telah dimainkan pada hari ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ujarnya, KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 bahawa UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataan berasingan, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib turut menegaskan bahawa dasar pengambilan sedia adalah kekal dan tiada perbincangan di Senat UiTM mahupun Mesyuarat Eksekutif Universiti mengenai perkara tersebut.
"Saya menyeru kepada semua mahasiswa untuk menumpukan usaha menunaikan amanah sebagai seorang pelajar, gunakan masa yang sangat berharga untuk belajar dan timbalah ilmu sebanyak mungkin untuk bekal masa depan yang tidak menentu.
"Inilah perjuangan hakiki seorang mahasiswa," katanya.
Zambry pada 2 Mei lalu dilapor berkata kementerian tidak menerima permohonan daripada UiTM untuk membuka program latihan ijazah lanjutan kepakaran atau ‘parallel pathway’ kepada bukan Bumiputera.
Oleh itu, tiada perbincangan antara kementerian dan UiTM, katanya.
UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program ‘parallel pathway’ dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotorasik.
Sebelum itu, media melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar, mendedahkan UiTM bersetuju untuk membuka program itu secara sementara kepada graduan bukan Bumiputera.