KUALA LUMPUR, 24 April- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang merangka beberapa kerjasama antara universiti luar negara bagi mempromosi negara sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa.
Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, bagi tujuan itu, beberapa perbincangan akan diadakan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen Malaysia untuk memastikan negara menjadi pilihan pelajar antarabangsa.
Ini berikutan beberapa permintaan dari negara luar agar kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia dapat dipermudahkan.
"Ini adalah penting untuk kita memperkenalkan Malaysia sebagai hab antarabangsa pendidikan tinggi, terutama bagaimana kita mahu meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa di negara ini.
"Jadi kita mahu permudahkan terutama dari segi Imigresen, saya dimaklumkan negara-negara meminta supaya Imigresen itu dilonggarkan sedikit untuk memudahkan pelajar antarabangsa ini untuk belajar di negara ini", katanya semasa menghadiri Persidangan Meja Bulat Duta-Duta anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di ibu negara.
Penganjuran persidangan kali pertama oleh UTM ini dihadiri oleh 22 duta serta perwakilan luar negara bertujuan bagi berkongsi idea dan cadangan dalam memperkukuh serta memperkasakan universiti tempatan ke luar negara.
UTM berperanan sebagai pengantara dalam berinteraksi dengan universiti di luar negara.