fb fb fb fb fb

KPT pantau rapat perkembangan 14 pelajar Malaysia di LA

Foto Reuters

KUALA LUMPUR, 12 Januari- Kementerian Pendidikan Tinggi mengesahkan bahawa terdapat 14 pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti of California, Los Angeles (UCLA), setakat ini.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu hasil bantuan semakan Pejabat Education Malaysia Los Angeles (EMLA), susulan mengetahui situasi semasa pelajar yang terkesan akibat bencana kebakaran yang menimpa di kawasan itu.

"KPT menerusi EMLA sentiasa memantau perkembangan terkini di Los Angeles dan telah melaksanakan inisiatif pengesanan pelajar khususnya yang berhampiran dengan lokasi kejadian.

KPT bersama pejabat Consul General (CG) di Los Angeles juga bersetuju memberi bantuan, seterusnya melaksanakan pelan evakuasi sekiranya perlu, melalui penempatan pelajar di rumah pegawai sebagai rumah perlindungan (shelter house)," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, tiada arahan evakuasi dikeluarkan oleh pihak UCLA kepada para pelajar, setakat ini.

Sehingga kini, kesemua pelajar dalam keadaan baik dan masih berada di kediaman masing-masing sehingga arahan terbaharu diterima.

Dalam pada itu, KPT memperkenalkan sistem pembangunan data melalui sistem MyData@EducationMalaysia4U sebagai galakan kepada pelajar untuk mengemas kini butiran diri dan pengajian pelajar ke dalam portal rasmi KPT bagi tujuan capaian maklumat data yang tepat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM