KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata langkah itu bertujuan membantu kerajaan dalam menilai pelbagai jenis pengkhususan mengikut bidang tertentu.
Katanya, Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memutuskan agar TVET asas dikendalikan oleh agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
"Dengan cara ini, kita dapat memberikan pengkhususan fokus kepada bidang-bidang yang ingin dikenal pasti, seterusnya memenuhi keperluan pasaran dalam bidang teknikal, khususnya yang melibatkan E&E (elektrik & elektronik) dan automasi.
"Sebagai contoh, industri kenderaan elektrik (EV) adalah antara perkara penting yang sedang diberi perhatian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum 50 Tahun Hubungan Malaysia-China anjuran Universiti Utara Malaysia di ibu negara.
Tambah Dr. Zambry, usaha tersebut turut disokong dengan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke China bagi memperkukuhkan industri TVET melalui program pertukaran pelajar dan pemindahan kepakaran teknikal.