KPM utamakan keselamatan, kesejahteraan murid

FOTO BERNAMA

ELMINA, 12 Januari – Aspek keselamatan dan kesejahteraan murid menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM) dan tidak boleh dikompromi.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPM mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan murid tanpa kompromi.
  • Persekitaran sekolah selamat memerlukan komitmen pengurusan, guru, ibu bapa dan komuniti.
  • Matlamat sekolah bebas buli menjelang 2026 melalui langkah perlindungan menyeluruh.
  • Pelaksanaan Polisi Perlindungan Kanak-Kanak ditandatangani semua pemegang taruh di sekolah.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, usaha mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat memerlukan komitmen bersama daripada pihak pengurusan sekolah, guru, ibu bapa serta komuniti setempat.

Beliau menegaskan, KPM menyasarkan sekolah bebas buli menjelang 2026 menerusi pelaksanaan langkah perlindungan yang lebih tersusun dan menyeluruh di semua institusi pendidikan.

“Ini memang komitmen kita sepanjang masa. Saya telah menegaskan dalam amanat tahun baharu bahawa kita tidak akan berkompromi dalam soal ini, dan tanggungjawab itu mesti dipikul bersama untuk memastikan sekolah ini sejahtera.

“Sebab itu, dalam konteks tahun ini juga, semua pihak akan menandatangani ‘Child Protection Policy’ (CPP) atau Polisi Perlindungan Kanak-Kanak di sekolah, yang melibatkan semua pemegang taruh dengan akujanji untuk menjaga, memelihara dan melindungi anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent di sini.

Antara inisiatif utama yang bakal diperkenalkan ialah CPP, yang akan ditandatangani oleh semua pihak berkepentingan di sekolah dalam masa terdekat.

Polisi itu bertujuan memperkukuh tanggungjawab bersama dalam menjaga serta melindungi murid daripada sebarang bentuk ancaman keselamatan, termasuk buli.

Menurutnya, semua langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan holistik kementerian bagi memastikan sekolah kekal sebagai ruang yang aman dan sejahtera untuk perkembangan murid.