
PUTRAJAYA, 13 April – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan bahawa aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah akan terus menjadi keutamaan, susulan insiden kebakaran yang melibatkan Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah di sini, petang semalam.
- Premis sekolah dikosongkan untuk membolehkan penilaian keselamatan dijalankan oleh pihak berkaitan.
- Sepanjang minggu ini sesi pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara PdPR bagi memastikan kesinambungan pendidikan murid.
- KPM memperuntukkan RM100,000 untuk pembersihan dan pembaikan asas termasuk pembaikan pendawaian elektrik serta sambungan semula bekalan air.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerusi kenyataan memaklumkan, beberapa langkah segera telah diambil bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru serta warga sekolah berkenaan terpelihara.
Beliau berkata pada waktu ini premis sekolah berkenaan telah dikosongkan bagi membolehkan penilaian keselamatan dijalankan oleh pihak berkaitan.
“Sepanjang minggu ini, sesi pengajaran dan pembelajaran akan dilaksanakan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan kesinambungan pendidikan murid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, KPM turut bersetuju memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan asas di sekolah terbabit.
Peruntukan tersebut melibatkan kerja membaiki pendawaian elektrik serta penyambungan semula bekalan air bagi membolehkan sesi persekolahan kembali beroperasi semula.
Selain itu, pasukan kaunselor daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan telah digerakkan untuk memberi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan dengan insiden berkenaan.