KUALA LUMPUR, 14 Disember - Kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) diperluaskan kepada RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Kah Woh berkata, dengan syarat terbaharu itu akan memanfaatkan 35,000 pemohonan dari seluruh negara termasuk negeri Sabah.
"Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kriteria pendapatan ibu bapa yang sebelum ini RM1,500 pada tahun 2023 kepada RM2,589 untuk tahun 2024," katanya menjawab soalan Senator Datuk Noraini Idris di Dewan Negara hari ini.
Katanya pada tahun 2021, Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM16,000 kepada 131 orang penerima BKP, tahun 2022 sebanyak RM25,000 (100 orang) dan setakat Oktober 2023 sebanyak RM18,000 (260 orang).
Pada Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan RM58.7 bilion kepada KPM sekali gus menjadikan kementerian itu penerima terbesar peruntukan dalam belanjawan negara.