KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti garis panduan bersesuaian, susulan cadangan pelaksanaan langkah-langkah segera bagi meningkatkan tahap keselamatan di semua institusi pendidikan, termasuk larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi murid berumur bawah 16 tahun.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan garis panduan berkenaan akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
“KPM menyambut baik keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang menggariskan langkah segera bagi menangani isu keselamatan di institusi pendidikan, termasuk usaha meningkatkan pemantauan pihak polis di semua institusi pendidikan.
Pada masa sama, KPM menyokong hasrat kerajaan menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial sebagai usaha melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman siber.
"Mekanisme pelaksanaannya akan diteliti oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
KPM turut menggesa semua institusi pendidikan memperkasa peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat bagi memastikan keselamatan institusi dapat ditingkatkan.
"Kerjasama rentas kementerian dan agensi adalah cerminan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bawah KPM", menurut kenyataan itu.