fb fb fb fb fb

KPM siasat dakwaan kertas soalan Sejarah SPM 2023 bocor

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

NILAI, 6 Februari- Dakwaan mengenai kertas soalan subjek Sejarah bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang bocor, kini dalam siasatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata beliau yakin integriti dan prosedur operasi standard (SOP) pengendalian peperiksaan KPM adalah tinggi.

Isu berkenaan dilapor tular di media sosial sejak semalam.

"Kita mempunyai integriti yang tinggi sebab SPM ini adalah peperiksaan nasional. Maka, daripada segi integriti keselamatan dan kawalan kita sangat ketat. Jadi, berhubung dakwaan tentang kebocoran ini, kita akan siasat tetapi dalam masa yang sama, saya minta untuk anak-anak tidak diganggu dengan berita-berita ini."

"Beri mereka ruang untuk fokus kepada kertas-kertas yang sedang mereka lalui," kata Fadhlina kepada pemberita dalam sidang media pada program Hari Perpaduan Silang Budaya dan Agihan Bantuan Awal Persekolah (BAP) peringkat Negeri Sembilan 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai Impian, di sini.

Program Sambutan Hari Perpaduan Silang Budaya peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung hari ini berjaya mendapat pengiktirafan Malaysian Book Of Records (MBOR) dengan penyertaan seramai 192,000 murid sekolah dan 17,400 orang guru di seluruh Negeri Sembilan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM