fb fb fb fb fb

KPM sedang dalam proses penyelarasan sistem prasekolah

Wong Kah Woh ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Perak di SMK Yuk Choy Ipoh

IPOH, 1 Februari- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang dalam proses memuktamadkan perincian mengenai penyelarasan sistem pendidikan prasekolah yang diputuskan Jemaah Menteri sebelum ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata pengumuman mengenai perkara tersebut akan dibuat dalam masa terdekat.

Beliau berkata, penyelarasan tersebut termasuk garis panduan yang akan digunakan bagi memastikan mutu pendidikan peringkat tadika lebih terjaga.

"Memang di peringkat KPM, jawatan kuasa prasekolah akan duduk dan bincang dalam masa terdekat dan memberikan maklumat terperinci berkenaan dengan pelaksanaanya, penjelasan kepada umum apa-apa keputusan yang dibuat melibatkan prasekolah bawah KPM sahaja,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Perak di SMK Yuk Choy Ipoh.

Di Perak, seramai 325,126 pelajar menerima bantuan BAP membabitkan peruntukan lebih RM48 juta.

Ia merupakan sebahagian daripada RM788 juta yang diumumkan Perdana Menteri pada Belanjawan 2024.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE