fb fb fb fb fb

KPM rangka intervensi jangka panjang, pendek - Fadhlina

Fadhlina Sidek/BERNAMA

NIBONG TEBAL, 31 Mac- Kementerian Pendidikan (KPM) merangka beberapa intervensi jangka panjang dan pendek bagi menyelesaikan isu kepadatan pelajar di sekolah di seluruh negara.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, antaranya pembinaan dan penggunaan kabin di sekolah selain menyuraikan pelajar ke sekolah berdekatan supaya bilangan pelajar dapat dikawal dalam suasana kondusif untuk belajar. 

Menerusinya, ia diharap dapat mengurangkan kepadatan pelajar dan suasana kondusif dapat diwujudkan.

"Berkenaan kabin, ada beberapa sekolah yang kita dah kenalpasti dari segi kapasiti, tetapi ia hanya pendekatan jangka pendek dan bagi jangka panjang mereka harus bersekolah di bangunan yang kondusif untuk pembelajaran," katanya selepas menghadiri Program Jaulah Ramadan KPM 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Sungai Acheh, di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Wong.

Menurut Fadhlina, KPM akan sentiasa memberi perhatian terhadap penyelesaian isu berkenaan dalam memberi keselesaan kepada pelajar.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan Selangor dan Kuala Lumpur merupakan antara negeri yang mempunyai isu kepadatan pelajar di sekolah ketika ini.

Mengenai Program Jaulah Ramadan, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata ia satu usaha untuk menyemarakkan Ramadan dan meningkatkan takwa serta cakna warga KPM menerusi pelbagai aktiviti termasuk tadabbur al-Quran, iftar, solat tarawih dan moreh.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI