NIBONG TEBAL, 11 Oktober- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memantau dengan rapi kes influenza di sekolah dan semua pentadbir diseru mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kesihatan, kebersihan serta pemakaian pelitup muka sebelum sebarang keputusan penutupan sekolah dibuat.
- KPM memantau rapat kes influenza di sekolah dan mengingatkan pematuhan SOP kesihatan.
- Sekolah dikehendaki melaksanakan pemantauan berkala untuk keselamatan pelajar dan kakitangan.
- Pematuhan SOP termasuk kebersihan dan galakan pemakaian pelitup muka sebelum penutupan sekolah.
- Kepatuhan SOP penting untuk mengekalkan keyakinan ibu bapa, guru dan profesionalisme pentadbiran sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, situasi jangkitan influenza ketika ini terkawal dan sekolah perlu melaksanakan pemantauan secara berkala bagi memastikan keselamatan pelajar serta kakitangan.
“Semua negeri termasuk pengarah-pengarah dan pimpinan tertinggi KPM telah diingatkan untuk mengambil langkah-langkah yang ditetapkan di bawah garis panduan bersama Kementerian Kesihatan (KKM). Ini termasuk pemantauan berkala, menjaga kesihatan dan kebersihan di sekolah serta menggalakkan pemakaian pelitup muka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram dan Projek Penempatan Semula Ladang Byram di sini.
Fadhlina menekankan, pematuhan SOP penting untuk mengekalkan keyakinan ibu bapa, guru dan pelajar serta memastikan pentadbiran sekolah kekal profesional dan berwibawa.
“Semua SOP telah ditetapkan dan KPM minta pihak sekolah mengambil langkah-langkah tersebut mengikut garis panduan bagi mengelakkan sebarang risiko penularan influenza,” katanya.