fb fb fb fb fb

KPM pandang serius peningkatan kes rogol babitkan kanak-kanak bawah umur- Fadhlina

Fadhlina Sidek ditemui pemberita elepas merasmikan Sudut Pemikiran Dato' Dr. Siddiq Fadzil di Dewan Serbagunan USAS, Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR, 7 Mei- Kementerian Pendidikan memandang serius peningkatan kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur yang didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Menurut menterinya, Fadhlina Sidek, usaha sedang dijalankan bagi membendung masalah tersebut termasuk mengadakan rentas kementerian dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

Guru-guru di semua peringkat sekolah turut diberikan latihan penekanan advokasi antigangguan seksual sebagai suatu inisiatif kesedaran.

"Jadi yang kita mahukan anak-anak percaya bahawa mereka mempunyai tempat selamat membuat aduan dan seterusnya dilindungi, sebab itu saya fikir ketika ini komitmen daripada semua pihak ibu bapa yang mesti memastikan keluarga itu selamat dan kemudian di peringkat sekolah kita akan menjadi tempat mendapat aduan tersebut.

"Kita percaya di peringkat sekolah sangat penting terutama melatih guru-guru dan juga kesedaran yang perlu ada dalam guru juga,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sudut Pemikiran Dato' Dr. Siddiq Fadzil di Dewan Serbagunan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar.

Semalam, Datuk Seri Shuhaily mendedahkan kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur meningkat secara konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Difahamkan, peningkatan itu berpunca daripada peningkatan akses kepada pornografi di media sosial.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE