fb fb fb fb fb

KPM-NACS: Enam substrategi utama banteras rasuah menerusi pendidikan

KPM melancarkan Kit Duta Sahsiah sebagai pemangkin pembentukan karakter 'karamah insaniah' dalam kalangan murid pada 25 November tahun lalu/Foto KPM

PUTRAJAYA, 9 Februari - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merangka enam substrategi utama dalam usaha membanteras rasuah menerusi pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Sebagai Kementerian Peneraju bagi Strategi 1: Pendidikan, KPM bertanggungjawab meningkatkan kesedaran dan pengetahuan antirasuah melalui pendidikan secara berstruktur dan berterusan.

Menurut kenyataan hari ini, pelaksanaan strategi itu melibatkan tempoh jangka masa pendek dan sederhana, dengan tumpuan diberikan kepada pembentukan karakter dan nilai integriti dalam kalangan pelajar serta warga pendidik.

"KPM komited memastikan pemerkasaan etika, integriti dan antirasuah menerusi pendidikan seperti yang terkandung dalam NACS 2024-2028. Ini penting bagi memerangi rasuah yang merupakan salah satu agenda utama reformasi negara," menurut kenyataan itu pada Ahad.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, KPM telah melancarkan Kit Duta Sahsiah pada 25 November 2024, yang berfungsi sebagai pemangkin dalam membentuk karakter ‘karamah insaniah’ dalam kalangan murid.

"Kit ini menekankan nilai-nilai murni dan keperibadian unggul yang diintegrasikan dalam sistem pendidikan bagi melahirkan generasi yang berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab.

"Kit Duta Sahsiah juga sejajar dengan fokus utama KPM bagi tahun 2025, yang menekankan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan pendidikan serta peluasan konsep Generasi MADANI KPM dalam kalangan penjawat awam dan institusi pendidikan," jelas kenyataan itu.

Modul latihan dan bahan rujukan dalam kit ini merangkumi aspek komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah, yang menjadi elemen penting dalam pembentukan karakter berintegriti.

Duta Sahsiah yang dilantik berperanan sebagai teladan dalam mempromosi serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam ekosistem pendidikan.

KPM menegaskan bahawa usaha pembanterasan rasuah menerusi pendidikan akan terus diperkasakan bagi memastikan matlamat NACS 2024-2028 dapat dicapai secara menyeluruh.

GRACE AISYAH KEDAYAN