fb fb fb fb fb

KPM laksana program rintis pelajar TMUA di Kolej Matrikulasi sesi 2025/2026

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA, 9 November - Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan program rintis khusus kepada pelajar lepasan kurikulum Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) yang menyambung pengajian mereka ke Kolej Matrikulasi bawah kelolaan Kementerian itu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, program itu bermula pada sesi 2025/2026 melibatkan 100 orang pelajar di dua buah Kolej Matrikulasi yang terletak di Kelantan dan Negeri Sembilan.

"Ia akan melibatkan penambahan satu mata pelajaran yang diperkenalkan, hifz Al-Quran iaitu bagaimana untuk menjaga, membaca dan menjaga Al-Quran itu lah.

"Jadi program ini khusus untuk mereka yang sudah melalui proses atau program tmua ini dan kita akan jaga mereka di peringkat matrikulasi lah dalam aspek itu," kata Fadhlina dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Sedekad TMUA KPM 2024, di sini.

Dalam majlis berkenaan beliau turut menyampaikan tiga anugerah utama iaitu Anugerah Sekolah Mithali, Anugerah Kokurikulum Peringkat Antarabangsa dan Anugerah Murid Terbilang.

Serta menyempurnakan Peluncuran Alumni TMUA yang diharap mampu memperkasa sumbangan lepasan Tahfiz kepada pendidikan manusiawi.

TMUA adalah gabungan kurikulum kebangsaan, Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan kokurikulum yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan sekolah berasrama penuh (SBP) terpilih dengan menggunakan tiga pendekatan, iaitu Quranik, Ijtihadik dan Ensiklopedik.

Bermula 2014, sehingga kini terdapat 15 buah sekolah yang melaksanakan kurikulum tersebut dan telah berjaya melahirkan seramai 7,075 murid hafiz Al-Quran.

TETITIA YUSOFF