fb fb fb fb fb

KPM laksana langkah tambahan, keselamatan dan disiplin murid dipertingkat

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 22 Oktober- Beberapa langkah tambahan dilaksana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi meningkatkan aspek keselamatan di institusi pendidikan serta menangani isu disiplin murid di seluruh negara.

KPM dalam kenyataan memaklumkan, antara inisiatif utama termasuk peruntukan tambahan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah yang dikenal pasti.

"Selain itu, lebih 10,000 guru baharu termasuk 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah mulai November ini, manakala 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa dilantik daripada kalangan personel MySTEP bagi meningkatkan pemantauan keselamatan murid," kata kenyataan itu.

KPM turut memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jawatankuasa Permuafakatan Sekolah serta memperkasakan fungsi ‘Smart Support Team’ bagi menangani isu psikososial dan keselamatan di sekolah.

"Dalam masa sama, kuasa Pengetua dan Guru Besar akan diperluas bagi mengurus isu disiplin murid manakala Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) dan Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) akan ditambah baik bagi memastikan pengurusan disiplin lebih berkesan," tambah kenyataan itu.

KPM juga bekerjasama dengan Kementerian (KKM) bagi melaksanakan program saringan kesihatan mental dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam.

Kementerian menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh keselamatan serta disiplin murid, sekali gus mewujudkan persekitaran pendidikan yang selamat dan sejahtera.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM