fb fb fb fb fb

KPM komited selesai isu logistik di pulau, pastikan tiada keciciran

Fadhlina Sidek

BATU KAWAN, 16 November- Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam memperkasa inisiatif akses pendidikan antaranya menyelesaikan isu-isu logistik dan akses pengangkutan terutama sekolah dalam kawasan pulau.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman antara yang menerima inisiatif tersebut apabila menerima sebuah bot.

Inisiatif itu dilihat dapat memastikan tiada individu terpinggir dalam pendidikan.

"Memang inisiatif ini antara yang penting dan telah diterajui di peringkat kementerian. Melihat kepada isu-isu logistik ini dapat diselesaikan akan memudahkan kepada akses pendidikan.

"Jadi adanya bot ini, ia menunjukkan komitmen pihak kementerian dalam memastikan pendidikan dalam kalangan pelajar dijaga. Ia memang inisiatif yang juga kita jangka untuk memperluaskan ke tempat-tempat lain khususmya pulau-pulau yang mempunyai sekolah dan guru kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Penyerahan Bot di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman di sini.

Sementara itu dalam majlis sama, Fadhlina memaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang sedang meneliti untuk menamakan SK Pulau Aman sebagai sekolah digital.

Ia berikutan sekolah tersebut mempunyai berpotensi dalam bidang tersebut termasuk aspek kelengkapan, penglibatan guru dan murid serta keupayaan digital.

"JPN sedang meneliti sekolah itu untuk dinamakan terus sebagai sekolah digital. Bagi peringkat negeri Pulau Pinang sekolah ini dilihat mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai sekolah digital.

"Penelitian itu termasuk kelengkapan dan penglibatan guru, murid dan keupayaan digital sekolah ini. Ia antara sekolah yang dilihat berpotensi untuk jadi sekolah digital sepenuhnya di Pulau Pinang," katanya.

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI