KUALA LUMPUR, 4 Disember - Kementerian Pendidikan (KPM) terus komited memperkukuhkan sistem pendidikan negara dengan memfokuskan konsep Pendidikan Manusiawi.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, konsep sedemikian dilaksana bagi melahirkan modal insan berketerampilan tinggi serta memastikan segala isu pendidikan dapat ditangani khususnya keciciran pelajar.
"Apa yang kita lihat sebagai sekolah-sekolah yang diwujudkan bagi mengatasi isu-isu akses ini sebagai contoh Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) untuk mengatasi anak-anak tanpa warganegara dan dokumen.
"Sementara itu Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) untuk anak-anak yang keuzuran tetapi tetap diberikan pendidikan ini termasuk Sekolah Integriti dan Pusat Koreksional untuk anak-anak yang sedang menjalani hukuman.
"Begitu juga Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan K11, jadi tidak ada lagi isu akses selepas ini kerana sekolah-sekolah model khas ini akan bergerak dalam komuniti masyarakat untuk memastikan anak-anak kita tetap mendapat pendidikan," katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri, Kota Media di sini.
Tambahnya lagi, KPM turut beri tumpuan kepada pengukuhan pantaksiran dari segi kekuatan emosi, jasmani dan spiritual pelajar melalui pendekatan pengiktirafan bakat-bakat dan potensi mereka melalui pelbagai platform.
Konsep berkenaan selari dengan aspirasi sistem Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2035.