fb fb fb fb fb

KPM komited laksana pelbagai program, cegah penggunaan vape di sekolah

Wong Kah Woh/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 November- Usaha terus diperkasa bagi mencegah penggunaan rokok elektrik atau vape di sekolah.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited melaksanakan program dan aktiviti pendidikan pencegahan seperti Program Skim Lencana Antidadah, Program Lima Minit Antirokok dan Vape.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pelantikan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah bagi menangani isu itu.

"Pelaksanaan Program Remaja Unggul Aspirasi Negara yang memberi fokus kepada bahaya rokok dan vape turut dilaksanakan di seluruh negara dengan kerjasama rakan strategik seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, dan Persatuan Membasmi Dadah Malaysia.

"KPM dan KKM juga mengadakan Latihan Kursus Pengukuhan Intervensi Berhenti Merokok dan Vape dalam kalangan murid kepada guru bimbingan dan kaunseling serta guru PPDa," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Penjelasan tersebut diberikan bagi menjawab soalan asal yang dikemukakan wakil Baling, Hassan Saad, yang ingin mengetahui usaha kerajaan dalam menangani masalah ketagihan vape dan rokok dalam kalangan pelajar sekolah.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM