fb fb fb fb fb

KPM kekal komited wajibkan pendidikan hingga menengah

Fadhlina Sidek/RTM

SEMENYIH, 17 Februari- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha memastikan cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pendidikan 1996 yang bertujuan mewajibkan pendidikan hingga peringkat sekolah menengah dapat dibentangkan di Parlimen pada Februari ini untuk bacaan pertama.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata jika cadangan tersebut tidak dapat dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini, ia akan dikemukakan pada sesi berikutnya.

"Kita kini dalam sesi libat urus bagi meminda akta ini sebagai komitmen KPM dalam memastikan pendidikan sekolah menengah menjadi satu kewajipan.

"Kita berharap ia dapat dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini, namun sesi libat urus masih diteruskan bagi memastikan sokongan penuh terhadap pindaan ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih di sini bagi meninjau pembukaan sesi persekolahan penggal pertama 2025/2026 hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Timbalan Ketua Polis Selangor Sasikala Devi, Pengarah Pendidikan Negeri Selangor Dr. Jafri Abu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Dr. Nor Mohd Azam Ahmad serta Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz.

Fadhlina meluangkan masa kira-kira 45 minit beramah mesra dengan murid Tahun Satu sebelum meninjau sesi pembelajaran di bilik darjah.

Beliau turut menyerahkan sumbangan RM3,000 daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn kepada pihak sekolah bagi membantu murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

SK Taman Pelangi Semenyih yang siap dibina sejak 2018 memulakan operasinya hari ini dengan seramai 1,005 murid dari peringkat prasekolah hingga Tahun Enam mendaftar di sekolah tersebut.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA