fb fb fb fb fb

KPM jamin kebajikan murid Tahun Lima diserang strok haba dijaga

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 1 Jun - Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan kebajikan murid Tahun Lima yang diserang strok haba selepas dipaksa berdiri di bawah sinaran matahari terjaga, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.

"Dia memang sudah berada dalam kebajikan kita bermakna anak murid ini adalah anak murid KPM, kita akan beri perhatian dalam konteks memastikan bahawa kebajikan dia terjaga," kata Fadhlina.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 dan Pelancaran Mydigitalmaker Fair (MDMF), di sini.

Katanya, KPM sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang isu salah laku yang menjejaskan keselamatan warga sekolah.

"Untuk peringkat KPM sebagaimana kenyataan kita tidak akan berkompromi dan kita memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan," katanya.

Rabu lalu, seorang murid Tahun Lima mengalami strok haba susulan didakwa kesan didenda berjemur di padang sekolah di Ampang, akan dinilai sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana masalah kesihatan dialami.

Difahamkan kanak-kanak berusia 11 tahun itu kini mempunyai masalah kesihatan berkaitan saraf dipercayai akibat strok haba kesan berjemur selama tiga jam di tengah padang di bawah terik cahaya matahari.

TETITIA YUSOFF