fb fb fb fb fb

KPM giat laksana pelbagai inisiatif penting bagi reformasi pendidikan negara

Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 30 April- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah, kurikulum persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran.

KPM dalam kenyataan memaklumkan untuk menangani isu keciciran murid daripada, peringkat awal, kelas prasekolah akan diperluas di seluruh institusi pendidikan di bawahnya.

Menurut KPM tumpuan juga diberi kepada pembangunan profesionalisme guru dengan pelbagai program ditawarkan untuk meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru dalam perkhidmatan.

"Terkini, KPM memperkenalkan platform Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) bagi memenuhi keperluan kompetensi digital guru," menurut kenyataan itu.

KPM memaklumkan Laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills berkenaan sistem pendidikan negara diambil perhatian.

"Perkara utama yang disentuh dalam laporan Bank Dunia seperti kualiti dan akses pendidikan prasekolah, kecekapan murid serta pembangunan profesionalisme guru sememangnya berada dalam perhatian KPM," katanya.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI