fb fb fb fb fb

KPM cadang tingkat bilangan Sekolah Model Khas K9 dan K11

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR, 1 April - Bilangan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) bakal ditambah tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, langkah itu bagi mengatasi masalah keciciran persekolahan dalam kalangan pelajar di pedalaman.

"KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) bercadang meluaskan sekolah K9 pada tahun iaitu tiga di Terengganu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak di Besut, SK Merang di Setiu dan SK Pulau Redang di Kuala Nerus manakala satu di Sarawak iaitu SK Nanga Merit di Limbang," katanya.

Beliau berkata bagi sekolah K11 melibatkan dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Betau, di Lipis, Pahang dan SMK Long Bedian di Baram, Sarawak.

"Sekolah Model Khas Komprehensif K9 ini merujuk kepada sembilan tahun (persekolahan), murid-murid akan duduk dalam sekolah di bawah satu bumbung dari Darjah Satu hingga Tingkatan Tiga.

"Pada masa sama, sekiranya sekolah K9 diperluas, ia akan menjadi K11 (maksudnya) anak-anak kita belajar lebih menyeluruh sampai Tingkatan Lima," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Musoddak Ahmad berhubung sejauh mana Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC) dapat mengatasi keciciran murid khususnya di sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sementara itu, Wong memaklumkan berdasarkan statistik KPM, kadar keciciran di peringkat sekolah rendah pada tahun lepas hanya 0.06 peratus, menurun berbanding 0.29 peratus pada 2017.

Bagi peringkat menengah, katanya kadar keciciran menurun daripada 1.36 peratus pada 2017 kepada 0.83 peratus pada tahun lepas.

TETITIA YUSOFF