KUALA LUMPUR, 1 April- Kementerian Pendidikan (KPM) bakal mengumumkan jumlah terkini pengambilan guru baharu dalam masa terdekat ini.
Jelas Menterinya, Fadhlina Sidek, ia adalah usaha untuk menangani kekurangan guru dalam negara yang dibangkitkan sejak tahun lalu.
"Komitmen KPM sehingga kini adalah konsisten untuk memastikan jumlah guru baharu dilantik bagi mengisi kekosongan yang ada meskipun belum menampung jumlah keseluruhan.
"KPM juga akan mengambil kira isu-isu unjuran bersama Sekolah Berasrama Penuh (SBP) supaya ia dapat unjuran yang lebih tepat dan pengisian itu dapat berlaku dengan segera," katanya menerusi kenyataan dalam Majlis Iftar Si Burung Kecil dan ramah mesra bersama-sama pengamal media di sini.
Program itu diadakan khusus bagi meraikan anak-anak kecil yang melibatkan murid Tahun 1 dan Tahun 2 yang sedang belajar berpuasa ini.
Ia merupakan suatu kaedah memberikan pengiktirafan kepada kanak-kanak yang belajar dan berlatih berpuasa, sebagai suatu amalan dan tuntutan ibadah bagi seorang muslim.