fb fb fb fb fb

KPKT sedia peruntukan RM20 juta, selenggara longkang, elak banjir kilat - Nga

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

SUNGAI SIPUT, 30 Oktober- Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM20 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara untuk kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir kilat.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, beliau telah menggesa kesemua PBT untuk segera menyelenggara longkang utama menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Katanya, peruntukan itu disalurkan kepada semua 155 PBT antaranya melibatkan pembersihan parit dan longkang serta kolam takungan bagi melancarkan sistem aliran air.

"Sejak bulan lepas, saya telah menggesa semua PBT ini segera menyelenggara longkang-longkang utama bagi mengelak kejadian banjir kilat di bandar-bandar.

"Kerja-kerja penyelenggaraan ini sedang berjalan dan saya masih menunggu laporan perkembangannya," katanya dalam sidang akhbar sempena Program Sentuhan Kasih KPKT di Sungai Siput di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Dr Sakduddin Zamli.

Pada masa sama, Nga berkata beliau yakin pegawai yang terlibat dengan bencana banjir akan sentiasa memantau keadaan di kawasan masing-masing dan meminta semua pegawai turun padang bagi menyelami perasaan serta mendengar rintihan hati rakyat.

Sementara itu berkenaan program hari ini, Nga mengumumkan peruntukan sebanyak RM11.03 juta melibatkan projek yang akan dilaksanakan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di kawasan Sungai Siput.

Beliau berkata antaranya projek baik pulih rumah kampung dalam daerah Sungai Siput, projek bina baharu rumah, projek pembangunan di kampung-kampung baru, projek menyelengara kolam tadahan, penyelenggaraan lampu jenis LED kepada MPKK dan peruntukan Inisiatif Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) kepada Kuil Hindu Sri Subramanyar Alaya Devasthana Paribalana Saba Sungai Siput (U).

"Lawatan saya ke Kampung Simpang Baru Jalong kita lihat dengan sendiri bagaimana kita berjaya mengubah kehidupan keluarga luar bandar serta membina rumah baru yang lebih selamat dan selesa atas asas kesejahteraan sebuah keluarga penduduk kampung yang memerlukan bantuan akan dikenal pasti oleh jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung dan ia akan di semak kelayakan," katanya.

Pada lawatan kerja itu, Nga turut menyantuni dua keluarga bagi Projek Bantuan Baik Pulih Rumah dan Projek Bina Baru Rumah Kampung Baru.

ZEHRA BINTI ZAMBRI