fb fb fb fb fb

KPKT sasar RM400 juta menerusi inisiatif PBTPay

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

PUTRAJAYA, 23 Januari - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan kutipan RM400 juta tahun ini menerusi inisiatif PBTPay yang akan diperluaskan ke 102 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Semenanjung,

Menterinya Nga Kor Ming berkata, ia adalah sebagai sebagai usaha kearah transformasi digital.

Beliau berkata PBTPay merupakan portal pembayaran sepusat rasmi bagi PBT yang dibangunkan Jabatan Kerajaan Tempatan bawah KPKT.

Setakat ini terdapat 99 PBT menggunakan khidmat berkenaan bagi pembayaran antaranya cukai taksiran, kompaun dan sewa.

"Sejak diperkenal pada 2021, PBTPay berjaya kutip RM600 juta dan tahun ini sahaja kita sasar RM400 juta jumlah kutipan. Saya rasa ini antara transformasi digital yang akan diterus diperhebatkan oleh KPKT.

"Kita ada 155 PBT secara keseluruhan, di Sabah dan Sarawak kita galakkan juga guna PBTPay tetapi mereka ada ordinan tersendiri. Namun, kita akan memperhebatkan usaha dengan mempelawa Sabah dan Sarawak turut serta bagi memudahkan urusan rakyat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Bersama Warga KPKT Tahun 2024 di sini.

Majlis amanat yang berlangsung secara hibrid itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib.

Nga dalam amanatnya turut menyampaikan pesanan agar falsafah kepimpinan warga KPKT adalah berteraskan prinsip Rukun Negara dengan tagline #strongertogether, #unityindiversity dan #demipertiwi akan terus diperkukuhkan di setiap peringkat dalam kementerian berkenaan.

Beliau berkata kesejahteraan rakyat menerusi pembinaan rumah mampu milik dan model baharu bagi program perumahan rakyat akan terus menjadi keutamaan KPKT bagi tahun ini, selain kemudahan infrastruktur bagi kemudahan rakyat.

"Sebanyak 5,196 projek prasarana awam telah siap dibina pada 2023 dan bagi 2024, tidak kurang 5,000 projek akan dilaksana dengan peruntukan RM784 juta," katanya.

Bagi mengukuhkan fungsi kerajaan tempatan, turut disasarkan pelaksanaan ‘One Stop Centre (OSC) 3.0 Plus di PBT yang bertaraf bandar raya dan majlis perbandaran yang melibatkan 30 PBT.

OSC Online merupakan sistem elektronik untuk membuat penyerahan permohonan dan memproses permohonan untuk kawalan pemajuan yang melibatkan pemohon seperti perancang bandar, arkitek dan jurutera.

Selain itu, Nga berkata KPKT juga akan mengenakan larangan menebang pokok selaras dengan prinsip persekitaran mampan kecuali sekiranya ia membahayakan keselamatan awam selain memperhebatkan inisiatif tandas ‘BMW’ iaitu Bersih, Menawan dan Wangi.

TETITIA YUSOFF