fb fb fb fb fb

KPKT sasar penambahan aset JBPM dalam misi bantu mangsa bencana

(Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersama anggota JBPM bergambar di WTC KL bersempena PAU 2021/FBMENTERI)

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengadakan pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ia bagi membincangkan cadangan penambahan aset untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam membantu mangsa bencana.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pertemuan yang diadakan bulan lalu turut menilai perolehan rasionalisasi peralatan penyelamatan supaya lebih versatil dan pelbagai guna.

"Saya dah berjumpa dengan Tok Pa untuk membuat perolehan aset-aset bomba yang jauh lebih tinggi seperti kapal selam dan bot. Aset seperti pelampung 'remote buoy' ini akan sampai lebih cepat, demikian juga dengan aset udara yang boleh angkat muatan lebih berat contohnya macam helikopter. Kita guna sewaktu banjir, kegunaan masuk pulau dan juga bencana lain seperti tanah runtuh," kata Reezal kepada media selepas mengadakan sesi ramah mesra di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, WTC KL.


(Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut berkesempatan melawat gerai pameran KPKT di WTC KL hari ini/FBMENTERI)

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan pandangan kepada pemimpin parti, untuk duduk bersama memastikan kesepakatan dapat dicapai.

Jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, ia bagi mengembalikan semula keharmonian dalam parti sekali gus memperkukuhkan semangat antara pemimpin.

"Pemimpin-pemimpin ini kalau berada bersama, mereka boleh membawa bacaan-bacaan yang lebih tepat. Kadang-kadang kita datang daripada dua sudut pandang yang berbeza, Menteri dia datang daripada sudut pandang berbeza, ahli parlimen datang daripada sudut pandang berbeza, yang bukan ahli parlimen datang dari sudut pandang berbeza yang berada di akar umbi pun sama," tambahnya.

Media Baharu