fb fb fb fb fb

KPKT salur RM5.21 juta tingkatkan infrastruktur awam di Hulu Selangor

Nga Kor Ming turut menyempurnakan Majlis Perasmian Bomba Sukarela Jalan Padang Tembak di Kuala Kubu Bharu.

HULU SELANGOR, 18 April- Sebanyak RM5.21 juta diperuntukkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Projek Kampung Baru Cina di kawasan itu.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata peruntukan tersebut meliputi 14 projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.16 juta disalurkan melalui MPHS manakala RM664,000 disalurkan kepada MPKK di Hulu Selangor,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja bersempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Jelas Nga antara projek yang akan dilaksanakan menerusi peruntukan tersebut adalah membaik pulih dan menaik taraf 10 unit gerai MPHS di Jalan Abdul Hamid serta Pasar Awam Rasa, Hulu Selangor.

Dalam sesi lawatan itu beliau turut menyempurnakan Majlis Perasmian Bomba Sukarela Jalan Padang Tembak di Kuala Kubu Bharu serta menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000 dalam usaha meningkatkan kecekapan pasukan bomba sukarela.

Dalam pada itu beliau turut melawat Kuil Sri Sithi Vinayagar di sini dan menyampaikan sumbangan sebanyak RM127,050 kepada Pertubuhan Berhala Sri Sithi Vinayagar bagi kerja-kerja membaiki bangunan keagamaan sedia ada.

“KPKT juga telah meluluskan RM250,000 kepada Persatuan Penganut Dewa Siaw Kong dan Dewi Lee Ma untuk membaiki keadaan bangunan rumah ibadat yang lama dan uzur.

“la merupakan sebahagian daripada RM50 juta bantuan kewangan yang disalurkan oleh Kerajaan Perpaduan kepada organisasi Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di seluruh negara tidak kira agama Hindu, Buddha, Kristian, Sikh dan Tao,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nga berkata projek Program Rumah MADANI Rakyat di Kampung Air Panas di sini telah siap untuk diserahkan kepada penduduk yang amat memerlukan bagi menggantikan rumah lama mereka yang usang serta tidak lagi selamat untuk didiami.

"KPKT komited meneruskan Program Sentuhan Kasih KPKT berdasarkan keperluan dan ia merupakan satu daripada inisiatif KPKT dalam memastikan keselesaan serta kesejahteraan penduduk Hulu Selangor,” katanya.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI