KPKT peruntuk RM4 bilion bangunkan prasarana awam

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (tengah), ketika ditemui media selepas Majlis Amanat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), hari ini/foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 Januari – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menetapkan pelaksanaan fokus utama 2026, selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, dengan peruntukan RM4 bilion bagi pembangunan prasarana awam di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM4 bilion disalurkan untuk projek prasarana awam berimpak tinggi seluruh negara.
  • Pembangunan termasuk Taman MADANI, medan selera, pasar awam dan kerja pembersihan sisa pepejal.
  • Pendekatan ABCDT (Amanah, Bersih, Cekap, Disiplin, Team) jadi teras perkhidmatan KPKT 2026.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata peruntukan itu akan disalurkan menerusi pelbagai projek berimpak tinggi, termasuk pembinaan Taman MADANI, medan selera, pasar awam, kerja-kerja pembersihan sisa pepejal, serta pelaksanaan pelbagai inisiatif lain.

“Apabila Perdana Menteri menekankan usaha mengangkat martabat negara, KPKT pula memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan utama kementerian.

“Kementerian akan memastikan setiap perancangan dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi semua jabatan dan agensi bawah KPKT, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Landskap Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perumahan Negara serta agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun 2026, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memperkenalkan pendekatan kerja baharu yang akan menjadi teras perkhidmatan KPKT bagi tahun 2026, iaitu konsep ABCDT – Amanah, Bersih, Cekap, Disiplin dan Team (Kerja Berpasukan).

Menurutnya, konsep ABCDT bukan sekadar slogan, sebaliknya berfungsi sebagai kompas kerja yang membimbing seluruh warga KPKT, bermula daripada pengurusan tertinggi hingga ke peringkat pelaksana di lapangan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga KPKT termasuk pasukan pengurusan tertinggi, pegawai kementerian, anggota bomba serta kakitangan PBT dan pembersihan, yang disifatkan sebagai nadi kepada kejayaan kementerian.

Selain itu, beliau berkata KPKT kini berada di landasan yang tepat selepas diiktiraf sebagai kementerian berprestasi tinggi bertaraf platinum oleh Jabatan Perdana Menteri, selain memenangi beberapa anugerah berprestij termasuk Anugerah Pembangunan Negara dan Anugerah Inovasi Perdana Menteri.

“Dengan azam dan semangat baharu pada tahun 2026, saya yakin KPKT akan terus mencipta kejayaan demi kejayaan untuk rakyat dan negara,” katanya.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan