fb fb fb fb fb

KPKT peruntuk lebih RM80 juta untuk pembangunan Melaka

Foto BERNAMA

BATU BERENDAM, 18 Mei- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM83.66 juta untuk pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur negeri Melaka.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata peruntukan tersebut yang disifatkan terbesar di negeri itu meliputi 17 projek penaiktarafan dan baik pulih yang merangkumi projek-projek baharu dan projek sedia ada.

Mengulas lanjut, beliau juga berharap peruntukan itu dapat digunakan sebaik mungkin dalam penyelenggaraan kediaman serta penyediaan perumahan mampu milik di negeri itu.

"Projek-projek ini saya percaya akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat.

"Kita nak pastikan rakyat sentiasa menikmati persekitaran yang selesa, selamat dan berdaya tahan melalui komitmen yang berterusan.

"Kami berharap melihat kemajuan yang signifikan dalam pembangunan komuniti di seluruh Melaka.

"Kerajaan Persekutuan beri jaminan sentiasa mengambil berat pembangunan negeri-negeri termasuk Melaka melalui pelbagai inisiatif," katanya kepada pemberita pada sidang media Program Sentuhan Kasih KPKT di Medan Selera Sultan Muhammad, Taman Perindustrian Batu Berendam di sini.

Dalam rangka lawatannya, beliau turut meninjau projek menaik taraf medan selera, pintu gerbang Ayer Keroh, lawatan tapak projek rumah PR1MA dan fasiliti tandas awam di Melaka.

Sementara itu, Kor Ming memberi amaran tegas kepada Pihak Berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara agar mencapai prestasi terbaik dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Tegasnya, sebarang peruntukan bagi pembangunan dan penyelanggaraan kepada setiap PBT adalah berdasarkan 'bajet berasaskan prestasi'.

Katanya, tindakan tegas juga akan dikenakan kepada PBT dan pegawai terlibat yang culas dalam melaksanakan tugas seperti surat amaran serta pemotongan bajet.

"Jika PBT tak dapat 'perform', duit kita turun.. dia tak dapat berdalih lagi, tiada alasan.. dulu kata tiada peruntukan, sekarang peruntukan sudah ada.

"Jika masih lagi tak 'perform'...pertama kita akan keluarkan surat teguran kepada pegawai yang bertanggungjawab.

"Kedua tahun depan YDP dan barisannya siap.. tahun ini mungkin saya bagi RM2 juta, tahun depan saya potong sebagai mesej supaya dia wajib 'perform'," katanya.

Bermula tahun 2023, semua PBT yang memohon peruntukan projek di lokaliti masing-masing wajib mengemukakan tiga dokumen penting iaitu kajian kebolehlaksanaan, analisis kos dan manfaat serta unjuran pulangan terhadap pelaburan.

Kajian kebolehlaksanaan diwajibkan bagi memastikan tiada lagi projek di bawah PBT yang dikategorikan sebagai projek 'gajah putih', boros dan membazir.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM