KPKT laksana 2,750 projek pembangunan di Kampung Baru Cina, India seluruh negara

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (empat,kanan)/Foto BERNAMA

SUNGAI SIPUT, 7 Februari –  Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Bahagian Kampung Baru Cina dan India (BKBCI) di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) melaksanakan sebanyak 2,759 projek pembangunan di Kampung Baru di seluruh negara bagi tempoh 2023 hingga 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • BKBCI JKT melaksanakan 2,759 projek pembangunan Kampung Baru bagi 2023 hingga 2025 di seluruh negara.
  • Peruntukan keseluruhan RM325.3 juta melibatkan 613 Kampung Baru untuk infrastruktur awam.
  • Projek termasuk 1,786 kerja kemudahan asas, baik pulih 902 rumah uzur, dan 62 rumah baharu.
  • Pemasangan lebih 2,300 lampu jalan LED solar dan RM15 juta untuk 89 Kampung India meningkatkan keselamatan serta kemudahan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata projek infrastruktur awam itu melibatkan 613 Kampung Baru dengan peruntukan keseluruhan RM325.3 juta.

Beliau berkata projek berkenaan merangkumi 1,786 kerja kemudahan asas dan infrastruktur, baik pulih 902 unit rumah uzur, pembinaan 62 rumah baharu serta pemasangan lebih 2,300 lampu jalan LED solar bagi meningkatkan kemudahan dan keselamatan penduduk Kampung Baru.

Nga berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Sentuhan Kejayaan Kampung Baru di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak RM15 juta turut diperuntukkan bagi pembangunan 89 Kampung India di seluruh negara meliputi naik taraf infrastruktur awam, dewan komuniti, lampu solar, sistem perparitan, medan selera MADANI, pasar awam serta taman MADANI.

Sementara itu beliau berkata dalam tempoh tiga tahun sama, JKT di seluruh negara menyiapkan 15,802 projek infrastruktur awam.

Katanya pada 2023 beliau menetapkan sasaran 5,000 projek setahun dan sasaran itu berjaya dilepasi apabila jumlah keseluruhan projek yang disiapkan mencecah 15,802 dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata kementerian turut berjaya memulihkan 1,333 projek sakit dalam tempoh tiga tahun termasuk 34 projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai sakit atau terbengkalai.

Tambanhnya, kini semua projek PR1MA di seluruh negara disahkan siap sepenuhnya tanpa sebarang projek terjejas selepas tiga tahun usaha pemulihan.