KUALA LUMPUR, 28 April - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited membangunkan Rumah Transit Belia (RTB) di kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) bagi golongan berpendapatan rendah B40 dan M40.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini untuk memastikan golongan anak muda berupaya memiliki kediaman sendiri sejajar agenda yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Katanya, penglibatan pihak swasta diperlukan untuk melihat serta menilai kawasan yang mempunyai daya maju yang tinggi.
"Oleh itu kawasan pembangunan akan melihat modal yang bersifat situasi menang-menang buat kedua-dua pihak antara kerajaan dan swasta bagi memastikan agenda untuk menyediakan RTB dapat ditunaikan.
"Lokasi yang menjadi perhatian untuk dibangunkan adalah untuk golongan muda yang baru nak memulakan kehidupan dan bekerja.
"Maka, pembangunan TOD ini amat penting untuk memenuhi keperluan golongan B40 dan M40," katanya kepada RTM selepas rakaman rancangan Inklusif di Wisma Berita, Angkasapuri pada Khamis.
Katanya, seperti di Kuala Lumpur terdapat dua jenis kediaman yang boleh dimiliki iaitu RTB untuk tujuan sewa dan juga rumah melalui inisiatif Program Perumahan Rakyat Dimiliki (PPR).
"Ada dalam kalangan mereka ketika di usia muda hanya nak menyewa, tetapi apabila mereka sudah berkahwin mereka nak tinggal ditempat lain.
"Oleh itu, KPKT hendak menyediakan keperluan untuk orang muda mendapatkan kediaman di Kuala Lumpur, selain mereka mencari rezeki, tetapi mereka berupaya memiliki kediaman yang munasabah dan mampu didiami sekali gus boleh menampung kehidupan mereka," katanya.
Ujarnya lagi, meskipun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menyediakan kediaman mampu milik buat warga kota namun kementeriaanya mahu membina projek perumahan di tanah-tanah yang terletak di lokasi strategik.