fb fb fb fb fb

KPKT cipta sejarah, 4,900 projek dilaksana hanya dalam setahun

Menteri KPKT, Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR, 29 November- Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencipta sejarah buat pertama kali melaksanakan 4,900 projek infrastruktur awam dan sosioekonomi, hanya dalam tempoh setahun pentadbiran Kerajaan Madani.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata kejayaan itu harus dibanggakan dan telah memberi inisiatif yang besar terhadap kesejahteraan rakyat.

"KPKT buat pertama kali berjaya mencipta sejarah telahpun melaksanakan projek insfrastruktur awam, sosioekonomi termasuk pasar awam, tandas, longkang, parit, cerun, bukit, lampu jalan dan lain-lain. Sebanyak 4,900 projek yang telahpun kita siapkan menjelang bulan depan.

Ini merupakan satu rekod yang tinggi dalam sejarah dan pada tahun depan kita akan pergiat lagi usaha ini. Ia bagi memastikan sasaran kita dalam tempoh lima tahun, kita akan menyempurnakan 20,000 projek-projek insfrastruktur awam sekali gus memberi kesejahteraan kepada rakyat," kata Nga kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia, hari ini di Angkasapuri Kota Media.

Selain itu, KPKT telah diiktiraf sebagai kementerian bertaraf platinum yang berprestasi paling tinggi.

KPKT juga telah membina tiga unit kios bertenaga solar kepada penjaja kecil selain memberikan insentif enam bulan percuma bayaran elektrik.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM