fb fb fb fb fb

KPKT cadang DTRC syarat mohon lesen perniagaan, tahun depan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tiga, kiri) melakukan gimik perasmian pada Majlis Aspresiasi sempena sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2024/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 28 November- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang semua pusat beli-belah perlu mewujudkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) sebagai syarat permohonan lesen perniagaan mulai tahun hadapan.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming menjelaskan bahawa langkah ini bertujuan memperluas kemudahan kitar semula sekali gus menggalakkan rakyat mengamalkan konsep 4R.

"Bagi memperhebat amalan kitar semula selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mementingkan kelestarian. Memperkasa pelaksanaan program pembudayaan 4R (Rethink, Reduce, Reuse, Recycle) dan kempen kesedaran awam serta ke arah mengkomersialkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu bagi meningkatkan bilangan di seluruh negara", katanya.

Jelas beliau, setakat ini, lebih 5,000 kemudahan kitar semula telah dikenalpasti di tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Manakala, 153 Pusat Pandu Lalu Kitar Semula telah diwujudkan di Malaysia.

Sementara itu, kerajaan menggalakkan pengurusan sisa pepejal berkonsepkan ekonomi kitaran untuk mewujudkan model ekonomi yang lebih mampan dan lestari.

Nga Kor Ming menegaskan bahawa sisa perlu dilihat sebagai sumber berharga yang boleh dimanfaatkan dan dijana semula.

Ini bagi mencapai aspirasi negara meningkatkan Kadar Kitar Semula Kebangsaan kepada 40 peratus menjelang tahun hadapan.

"Bagi memperhebat amalan kitar semula selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mementingkan kelestarian, saya ingin menyeru agar kita mengamalkan konsep 4R dengan penambahan elemen baharu, iaitu rethink.

"Konsep ini bukan sahaja mengajak kita untuk rethink sebelum menggunakan sesuatu, tetapi juga rethink atau menilai semula sistem sedia ada dan mencari jalan untuk memperbaikinya", ujarnya.

Beliau berucap di Majlis Apresiasi sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) 2024 di Putrajaya.

ROSLINA BINTI DIN