fb fb fb fb fb

KPKT beri jaminan Pangsapuri Aspire Residence Cyberjaya siap pada Julai 2023

CYBERJAYA, 23 Mac- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan projek perumahan Pangsapuri Aspire Residence Cyberjaya, membabitkan 1,168 unit akan siap sepenuhnya pada Julai 2023 setelah tergendala sejak 2019.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerja-kerja pembangunan projek kediaman Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) itu akan bermula April ini sehingga siap dalam tempoh 16 bulan.

Projek kediaman yang mula dibangunkan pada 2016 melibatkan 558 pembeli itu telah dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ akibat masalah aliran tunai yang dialami kontraktor, Sterling Prima Sdn Bhd sehingga menjejaskan kerja pembinaan di tapak.

"SPNB dan Sterling Prima Sdn Bhd telah melaksanakan langkah penamatan bersama, ini bermakna SPNB mengambil alih keseluruhan projek dan akan melantik kontraktor baharu dalam masa terdekat," katanya selepas meninjau projek berkenaan di sini.

(Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican)

Jelas beliau, setakat ini projek kediaman berkenaan telah mencapai 85 peratus kemajuan pembinaan.

Tambah Reezal Merican, bagi menjaga kebajikan pembeli yang terkesan, SPNB telah diarah untuk melaksanakan urusan pembayaran Denda Serah Lewat seperti yang termaktub dalam perjanjian jual beli bagi menampung sebarang kerugian di hadapi pembeli.

Media Baharu