fb fb fb fb fb

KPKM terima lebih 18,000 permohonan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi

Datuk Seri Mohamad Sabu

KLANG, 29 Jun- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerima 18,642 permohonan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi setakat ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, permohonan itu melibatkan golongan petani dan pekebun kecil.

"Jumlah yang diterima secara umum sudah ramai namun kita harap lebih ramai tampil memohon dan kementerian akan memudahkan urusan permohonan tersebut.

"Kita harap mereka yang layak memohon bantuan berkenaan agar usaha kerajaan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest 2024@Selangor, di sini.

Bantuan itu meliputi sumbangan tunai RM200 kepada petani dan pekebun kecil di Semenanjung yang berdaftar dengan KPKM atau Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Ia merupakan lanjutan daripada pelaksanaan program penyasaran semula subsidi diesel bawah inisiatif BUDI MADANI.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia berpotensi meneroka pasaran produk makanan ke Negara Bebas Komanwel (CIS), dalam usaha kerajaan bagi meningkatkan lagi jumlah eksport negara ke peringkat antarabangsa.

“Sebagai contoh, kopi negara kita seperti Tongkat Ali turut dikenali di luar negara dan boleh diterima pasaran antarabangsa. Oleh itu, kita perlu menggunakan peluang itu untuk menerokai negara CIS seperti Kazakhstan dan Tajikistan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai perkembangan usaha KPKM membantu masyarakat Orang Asli dalam mengusahakan tanaman durian dalam skala besar, Mohamad berkata perkara tersebut masih dalam perbincangan bersama-sama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Pada 21 Jun lalu, KPKM dalam perancangan menjadikan masyarakat Orang Asli sebagai antara penggerak utama bagi penanaman durian berskala besar di negara ini

Perkara itu berikutan terdapat banyak lokasi berdekatan kawasan mereka yang berpotensi dibangunkan sebagai kawasan penanaman durian berkualiti yang dilihat mampu menembusi pasaran luar negara, khususnya di China.

Program FAMA Fest 2024@ Selangor yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis, merupakan acara tahunan FAMA bagi mempromosi dan memperkenalkan produk pertanian serta agromakanan tempatan kepada orang ramai.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI