fb fb fb fb fb

Format Sijil Fitosanitari untuk kelulusan eksport durian segar ke China sedang dimuktamad

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Jabatan Pertanian (DOA) sedang memuktamadkan format Sijil Fitosanitari bersama General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC) serta mengemukakan senarai ladang dan fasiliti pembungkusan sedia ada yang telah mengeksport ke China kepada pihak GACC.

Ia bertujuan untuk kelulusan eksport durian segar dari GACC.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, hanya ladang dan fasiliti pembungkusan buah durian yang memohon dan berdaftar dengan DOA, mematuhi piawaian myGAP (Amalan Pertanian Baik) dan mendapat kelulusan pihak GACC dibenarkan mengeksport buah durian segar ke China.

Proses kelulusan pendaftaran dengan GACC ini dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan dan eksport buah durian segar dijangka bermula pada suku tahun ketiga tahun ini.

"Dalam usaha untuk mempercepatkan proses mendapatkan akses pasaran eksport buah durian segar dari Malaysia ke China, KPKM dan DOA telah mengambil inisiatif seperti berikut, pertama mengadakan rundingan secara berterusan dengan GACC.

"... Kedua, menandatangani Kenyataan Bersama (Joint Statement) antara KPKM dan pihak GACC pada 6 Oktober 2023 untuk mengukuhkan komitmen supaya mempercepatkan akses pasaran produk pertanian termasuk buah durian segar ke China. Ketiga, menganjurkan lawatan awal oleh GACC ke ladang durian di Melaka pada 7 Oktober 2023", katanya.

Beliau menjawab soalan yang di bangkitkan wakil Raub Chow Yu Hui yang ingin mengetahui usaha Kementerian mempercepatkan proses pengeksportan durian segar ke negara China.

ROSLINA BINTI DIN