fb fb fb fb fb

KPKM laksana pembenihan awan Fasa 2 bagi tangani cuaca panas, kering

Gambar hiasan/Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Julai - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) Fasa 2 dalam masa terdekat di kawasan pertanian yang terkesan dengan cuaca panas dan kering.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) bagi menghadapi kesan perubahan iklim.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menjalankan OPA kali pertama bagi menangani isu kemarau di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan dari 21 hingga 23 Jun lepas.

"Daripada operasi ini, hujan sederhana lebat telah direkodkan pada 21 Jun di kawasan sasaran iaitu di Gua Musang dan Pasir Puteh," katanya menjawab soalan asal Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berhubung persediaan KPKM menghadapi risiko ketidaktentuan cuaca terhadap pertanian.

Tambahnya, bagi mengatasi masalah kekurangan sumber air semasa musim kemarau KPKM juga melaksanakan sistem penuaian air hujan dan pencarian sumber air bawah tanah melalui sistem telaga tiub.

Ujarnya, kementerian menggunakan sungkupan untuk mengekalkan kelembapan tanaman.

"Sebanyak 251 telaga tiub dan 246 pam bergerak telah disediakan KPM bagi menampung keperluan petani dan penternak untuk kawasan yang terjejas bencana seperti banjir dan kemarau.

"Selain itu, kita melaksanakan penyelenggaraan sistem pengairan dan saliran pertanian secara berkala setiap tahun bagi membolehkan infrastruktur berfungsi dengan baik," katanya.

Tambah beliau, KPKM telah menyediakan RM80 juta tahun ini untuk kerja penyelenggaraan dalam kawasan jelapang dan luar jelapang.

"Bagi membantu warga agromakanan yang terkesan akibat bencana banjir, KPKM telah memperuntukkan RM50 juta melalui Tabung Bencana Pertanian dan RM12 juta bagi Tabung Bencana Tanaman Padi," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN