JERLUN, 27 Februari – Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta kerajaan negeri Kedah digesa mempercepatkan pelaksanaan Program Penanaman Padi Lima Musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fasa Satu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu perlu dipercepatkan, termasuk pengambilalihan tanah bagi menaik taraf infrastruktur sistem pengairan serta penyediaan laporan kemajuan secara berkala kepada kementerian.
“Semua agensi perlu anggap ini sebagai projek utama dan melaporkan perkembangan setiap bulan mengikut jadual. Kita tidak boleh bertolak ansur kerana ini melibatkan kehidupan pesawah. Melambatkan projek bermakna menambah beban kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Projek Pembangunan Infrastruktur bagi menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim dalam tempoh dua tahun di Kampung Pida 4 dekat Ayer Hitam, di sini.