PUTRAJAYA, 16 April- Bekalan makanan asas dijamin mencukupi sepanjang Syawal ini selari dengan keupayaan pengeluaran domestik komoditi makanan utama negara oleh petani, pesawah, peladang, penternak serta nelayan pada Ramadan dan sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan berkata, bekalan komoditi makanan yang terhad pengeluaran domestiknya pula ditampung melalui pengimportan bekalan makanan untuk keperluan pengguna di pasaran.
Menurut KPKM penggunaan bekalan makanan asas dalam kuantiti yang besar diperlukan sepanjang Syawal memandangkan tradisi mengadakan rumah terbuka menjadi kelaziman bagi rakyat Malaysia.
"Perhatian diberikan kepada lapan komoditi makanan utama yang ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) iaitu beras, ayam, telur, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut dan susu segar bagi memastikan bekalannya mencukupi," kata kenyataan itu.
KPKM memaklumkan kebolehcapaian komoditi makanan utama berkenaan juga akan disokong oleh outlet pemasaran bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), selain pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara.
Pada masa sama, KPKM turut menggalakkan amalan penggunaan bekalan makanan mengikut keperluan bagi mengelakkan pembaziran makanan khususnya dalam tempoh penganjuran rumah terbuka sepanjang Syawal.