(Foto BERNAMA)
KLANG, 20 Julai- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan beras tempatan sentiasa mencukupi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah tersebut, sekali gus memastikan harga beras tempatan dapat dikekalkan.
Beliau turut meminta agar pengilang dapat bekerjasama memastikan bekalan beras tempatan dapat ditampung ke kawasan yang memerlukan.
"Kementerian akan memberi tumpuan sepenuhnya kerana ini adalah makanan utama penduduk di sini. Jika berlaku kekurangan bekalan beras, lapor segera kepada pihak kami. Perkara itu akan diatasi sepenuhnya. Perbincangan telah dibuat dengan pihak BERNAS bagi memastikan golongan berpendapatan rendah akan terus menikmati bekalan beras tempatan," katanya pada Majlis Perasmian Bangunan Pejabat Pertubuhan Peladang di sini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata bekalan ayam dan telur dalam negara kini kembali pulih setelah melalui tempoh getir pengeluaran bekalannya.
Katanya, perkembangan positif itu merupakan hasil usaha kementeriannya yang sentiasa memastikan bekalan telur dan ayam di pasaran dapat menampung keperluan pengguna.
Tambah menteri pertanian dan keterjaminan makanan itu, pemulihan nilai ringgit negara akan turut mempengaruhi pengurangan harga barangan import memandangkan negara masih lagi bergantung kepada import bekalan jagung dan soya untuk sektor penternakan beroperasi dengan baik.
"Kita harap tidak ada peperangan baharu yang boleh menjejaskan import 'green corn' dan soya sebab kita tahu 'green corn' ini baharu di peringkat permulaan tanaman di sini. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memainkan peranan agar bekalan jagung itu mencukupi," katanya.
(Foto BERNAMA)