fb fb fb fb fb

KPKM giat bangunkan semula sawah terbiar bersama kerajaan negeri

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 2 September - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited meningkatkan semula tahap Kadar Sara Diri (SSR) beras negara termasuk membangunkan sawah tertinggal serta kawasan terbiar dengan kerjasama kerajaan negeri.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tahap kecukupan beras negara ketika ini sekitar 56 peratus, menurun berbanding 71 peratus sebelum ini.

“Sekarang ini usaha kita adalah untuk meningkatkan semula SSR itu. Salah satunya menerusi peningkatan hasil. Kalau sawah di Malaysia berjumlah lebih 700,000 hektar dapat hasil purata tujuh tan sehektar, kita sudah boleh mengeksport beras.

“Tetapi purata sekarang sekitar 4.5 tan sehektar, ada tempat yang mencecah 10 hingga 12 tan, ada yang tujuh hingga lapan tan, malah ada juga bawah tiga tan. Jadi dengan purata tujuh tan, kita sudah boleh capai kecukupan beras negara. Sebab itu sawah-sawah tertinggal atau kawasan terbiar kini dibangunkan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program berkaitan pembangunan sektor pertanian, baru-baru ini.

Jabatan Pertanian Negeri Sembilan sebelum ini merekodkan sebanyak 107 peserta dengan keluasan lebih 200 hektar sawah terlibat dalam Skim Padi Triang Ilir di Jelebu, mencatatkan hasil purata 4.1 tan sehektar tahun lalu.

Kawasan berkenaan turut menerima insentif RM1 juta di bawah Program Insentif Pelestarian Sawah Nogori pada tahun ini.

Secara keseluruhan, Negeri Sembilan menerima peruntukan RM19 juta pada tahun 2025 bagi menyokong pembangunan sektor pertanian termasuk tanaman, ternakan dan agropelancongan.

Kerajaan menyasarkan tahap kecukupan beras negara mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus dalam tempoh terdekat, bagi memastikan bekalan makanan negara lebih terjamin pada masa depan.

GRACE AISYAH KEDAYAN