
KUALA LUMPUR, 18 MAC – Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi penguatkuasaan adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan maut, bukannya semata-mata memberi tumpuan kepada pengeluaran saman terhadap pengguna jalan raya.
- Kerajaan menegaskan matlamat bukan hanya mengeluarkan saman, sebaliknya memastikan pematuhan undang-undang jalan raya.
- Operasi Khas Aidilfitri dilancarkan di Stesen Penguatkuasaan Gombak bagi menjawab isu operasi dan saman.
- Pendekatan 'Persepsi Ditangkap' dipertingkatkan dengan rondaan di lokasi panas untuk galakkan pemanduan berhemah.
- Operasi bersepadu melibatkan 3,000 anggota dan menumpu pada sembilan kesalahan utama seperti laju dan guna telefon.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, terdapat persepsi dalam kalangan sesetengah pihak termasuk media bahawa tugas utama jabatan itu tertumpu kepada pengeluaran saman, khususnya ketika musim perayaan.
“Saya ingin menegaskan bahawa matlamat kami bukan untuk mengeluarkan saman. Objektif kami adalah memastikan semua pihak mematuhi undang-undang jalan raya.
“KPI kami bukan jumlah saman yang dikeluarkan, sebaliknya pengurangan kadar kemalangan jalan raya. Ini merupakan misi utama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ,” katanya ketika melancarkan Operasi Khas Aidilfitri JPJ Kuala Lumpur di Stesen Penguatkuasaan Gombak pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai status Operasi Hari Raya Aidilfitri 2026 yang bermula semalam serta jumlah saman yang dikeluarkan pada hari pertama.
Menurutnya, MOT akan mempergiatkan pendekatan “Persepsi Ditangkap” dengan meningkatkan rondaan oleh anggota penguat kuasa di kawasan dikenal pasti sebagai lokasi panas bagi mengingatkan pengguna jalan raya bahawa mereka sentiasa dipantau, sekali gus menggalakkan pemanduan lebih berhemah dan berhati-hati.
Selain rondaan fizikal, operasi tahun ini turut diperkasakan dengan penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan.
“Ini termasuk penggunaan enam dron pemantauan trafik, kamera tindakan penguat kuasa, peranti penguatkuasaan pintar, kamera badan pegawai serta kamera papan pemuka (dashcam).
Sementara itu Operasi bersepadu di seluruh negara itu melibatkan 3,000 anggota penguat kuasa JPJ dan akan berlangsung sehingga 29 Mac.
Operasi tersebut memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama termasuk memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta memotong di lorong kecemasan.