KUALA LUMPUR, 17 Ogos- Siasatan lanjut akan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung isu peniaga gerai nasi ayam dan nasi itik yang tular, baru-baru ini.
Mereka didakwa mengambil bekalan makanan dari kedai bukan Islam di Pulau Pinang.
Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga terbabit jika terbukti berlaku sebarang kesalahan di bawah bidang kuasa kementerian.
"Kita akan mengadakan siasatan yang lebih terperinci untuk melihat berkenaan aduan tersebut, jadi tunggulah apa keputusannya nanti.
"Dengan kerjasama Jakim dan badan berkaitan untuk pastikan apa yang ditular itu ada kebenarannya ataupun tidak ada kebenarannya, jadi kita akan mengambil tindakan tegas jika ianya menyalahi akta atau peraturan yang ada di kementerian kita," katanya.
Beliau menjelaskan demikian selepas merasmikan kempen 'Kopi Merdeka' oleh Tealive, di sini hari ini.
(Datuk Rosol Wahid)
Dalam pada itu, KPDNHEP akan turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung status halal makanan yang dijual peniaga berkenaan.
Sebelum ini, tular video memaparkan dua lelaki melayu mendapatkan bekalan nasi ayam dan nasi itik daripada restoran bukan Islam di Paya Terubong, Pulau Pinang untuk dijual kepada pelanggan di gerai mereka di Sungai Ara.