IPOH, 22 Januari- Skuad pemantau khas diwujudkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Perak bagi memastikan tiada kenaikan harga barang berlaku sepanjang Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata pemantauan memfokuskan kepada kawasan yang sering menjadi tumpuan pelancong.
Justeru, beliau amat mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk melaporkan sekiranya berlaku kenaikan harga barang di kawasan mereka.
"Kita ada 170 orang penguat kuasa, dibantu dengan 74 pegawai pemantau harga. Kita akan turun setiap hari di lapangan, bertugas memantau harga selain mengambil maklumat tentang harga semasa terutama melibatkan barang-barang kawalan dan barangan keperluan harian."
Melalui penugasan itu, kita akan dapat memantau dengan lebih dekat jika wujud kenaikan tidak munasabah sama ada di peringkat pasar raya, kedai runcit, kedai makan dan sebagainya," kata Datuk Kamalludin kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Perakfm Prihatin di konti Perakfm.
Tambahnya, peniaga yang menaikkan harga tidak munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Mengulas mengenai arahan penempatan pegawai penguat kuasa di pintu sempadan negara oleh Menteri KPDN, beliau berkata pegawai daripada KPDN Gerik telah ditempatkan serta merta di kawasan tersebut untuk pemantauan secara berkala.
Penempatan itu sebagai langkah mengawal ketirisan dan penyelewengan barangan kawalan termasuk minyak diesel, minyak masak, gula dan tepung.