
KUANTAN, 17 Mac – 87 syarikat pengendali umrah sedang disiasat berhubung dakwaan kewujudan kartel umrah.
- MyCC menyiasat dakwaan perjanjian penetapan harga oleh beberapa syarikat bagi perkhidmatan perjalanan umrah di Malaysia.
- Nasihat kepada bakal jemaah umrah supaya mempertimbangkan keselamatan, khususnya berikutan situasi geopolitik semasa.
- Kerajaan meneliti langkah merapatkan jurang ketirisan antara bahan api bersubsidi dan harga komersial.
- Kerajaan mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter sebagai keutamaan demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, siasatan itu dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana terdapat beberapa syarikat yang membuat perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan perjalanan umrah di Malaysia.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang merancang menunaikan umrah agar mempertimbangkan aspek keselamatan, khususnya berikutan situasi geopolitik semasa.
Datuk Dr Fuziah berkata demikian selepas merasmikan Program Jualan Rahmah MADANI Mega Aidilfitri 2026 dan Agihan Zakat Wakalah Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap Perdana, Kuantan.
Sementara itu, kerajaan sedang meneliti langkah merapatkan jurang ketirisan bahan api bersubsidi dan komersial.
Datuk Dr Fuziah berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, semalam.
“Kita mengakui terdapat jurang ketara antara harga RON95 dan RON97. Perbezaan ini membuka ruang kepada ketirisan apabila pihak yang sepatutnya membeli pada harga komersial turut mendapatkan bekalan bersubsidi,” katanya.
Tegasnya, kerajaan akan terus mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter sebagai keutamaan demi kesejahteraan rakyat.