HULU LANGAT, 6 November - Lapan jenis barangan akan dikawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023, berkuat kuasa 9 hingga 15 November ini.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia akan dilaksanakan selama tujuh hari iaitu tiga hari sebelum perayaan, semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.
"Lapan item tersebut ialah bawang merah besar import, bawang merah kecil (India) tidak termasuk ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal Australia, kelapa biji yang akan kita kawal harga maksimum dia di peringkat borong, kelapa parut yang harga maksimum ditetapkan di peringkat runcit dan juga tomato," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman SHMMP Deepavali 2023, di sini.
Tambah Armizan, semakan harga boleh dibuat menerusi laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara (KPDN) di https://www.kpdn.gov.my.
“Sebarang kes mengenai harga barangan juga kita minta orang ramai agar melaporkan secara terus kepada mana-mana platform kementerian bagi memastikan aduan itu dapat disiasat dengan segera,” katanya.